mcmc
Maklumat Am

Awareness : Influenza A

 KKM ingin menasihatkan mengenai langkah yang perlu diambil dalam mengendalikan pesakit terutamanya di kalangan kanak-kanak di bawah 5 tahun seperti berikut:

  • -Jika terdapat keperluan, gunalah ubat paracetamol mengikut dos yang tepat, di samping mendemah bahagian badan seperti kepala, kaki dan badan dengan tuala basah (tepid sponging);
  • Elakkan daripada memberi ubat Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDS) untuk mengurangkan demam kerana terdapat bukti klinikal yang menunjukkan penggunaannya boleh meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti radang otak di kalangan kanak-kanak;
  • -Memastikan pesakit minum secukupnya supaya kekal terhidrat;
  • -Sila bawa pesakit tersebut berjumpa doktor dengan segera sekiranya demam tidak berkurangan atau mempunyai gejala penyakit influenza seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

 

 Orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi khususnya adalah digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara. Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza adalah dinasihatkan untuk mengamalkan perkara berikut:

  • -Berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut (face mask) dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan;
  • -Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Seterusnya, tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah;
  • -Mengelakkan dari berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain;
  • -Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk / sakit tekak yang berterusan.

 

Sumber rujukan dari 🙁https://kpkesihatan.com/2020/01/04/kenyataan-akhbar-kpk-4-januari-2020-makluman-mengenai-pengurusan-pesakit-yang-disyaki-mengalami-jangkitan-influenza-terutamanya-di-kalangan-kanak-kanak-di-malaysia/)